Sunday, 20 November 2011

Lompat Si Katak Lompat

Katak Oh katak



Selamat datang semua ke blog saya yang tidak seberapa ini. Blog ini dihasilkan sebagai wadah perkongsian ilmu bersama-bersama rakan yang lain di luar sana. Ia juga sebagai memenuhi tugasan bagi subjek KRT 3013 yang perlu saya jalani di semester 2 ini. Sebarang komen, nasihat dan teguran yang membina amatlah dialukan . 



Katak Oh Katak 
Mengapa katak ? Saya memilih katak sebagai subjek utama kerana bagi saya katak ialah antara haiwan ciptaan Tuhan yang sangat unik kitaran hidupnya. Kitaran hidup katak kini dapat dipelajari melalui subjek Sains di sekolah rendah dan mula diajar di Tahun 2.

Teringat pula zaman kanak-kanak dahulu. Tidak jauh dari kawasan rumah, terdapat satu kawasan lapang yang sentiasa dipenuhi dengan lopak-lopak air. Ada diantara lopak ini pula dipenuhi dengan berudu yang begitu mengujakan saya. Setiap petang, saya bersama rakan-rakan sepermainan yang lain akan ‘berkunjung’ ke kawasan tersebut bagi memerhatikan berudu-berudu dalam lopak air itu. Ada rakan yang mengambil dan meletakkan berudu tersebut dalam balang bekas makanan. Saya pula hanya mampu memerhati sahaja kerana awal-awal lagi telah mendapat amaran dari ibu yang tidak membenarkan saya menyentuh haiwan yang kelihatan begitu comel di mata saya ketika itu.


Jadi, jom kita layari sebentar blog ini tentang kitar hidup katak dan kepada anak-anak murid tersayang, semoga segala maklumat ini dapat membantu anda menambahkan lagi ilmu di dada.


Kitar Hidup 
Kitar hidup haiwan merupakan satu konsep yang menerangkan tentang proses yang berlaku  sepanjang kehidupan sesuatu hidupan atau habitat iaitu daripada baru lahir, telur, dan membesar.

Pada setiap peringkat yang dilalui hidupan ini, ia akan melalui proses yang berlainan dari segi bentuk dan perubahan yang bakal berlaku.  Ada juga binatang tertentu yang berbeza bentuk dan warna semasa kecil dan ada yang hanya berubah daripada segi saiz .Namun apa yang dapat dipastikan ialah walaupun semua hidupan melalui kitar hidup masing-masing  tetapi ia tidak sama antara satu sama lain. 


Peringkat Pertama

Katak menghasilkan telur di dalam air atau kawasan berair. Telur-telur katak melekat antara satu sama lain lalu membentuk sekelompok telur. Katak bertelur berpuluh-puluh sehingga beratus-ratus biji telur. Ini adalah cara semulajadi untuk memastikan kemandirian hidup spesiesnya  kerana walaupun katak bertelur dalam jumlah yang banyak namun  tidak semua telur akan menetas kerana hidupan lain akan memakan telur-telur katak ini. 


Peringkat  Kedua 

Selepas 21 hari tempoh perkembangan, ia akan bertukar menjadi berudu. Berudu akan membesar sehingga ia berjaya berenang di dalam air. Ini mengambil masa 3 hari hingga 3 minggu. Berudu makan tumbuhan air yang kecil yang melekat pada tumbuhan air yang lebih besar. Tumbuhan kecil ini dikenali sebagai alga.
                        
Berudu mempunyai ekor yang panjang dan tinggal di dalam air. Ia mudah mati dan bergantung kepada keupayaannya menyamar bagi melindungi dirinya. Berudu juga terancam dan ia boleh menjadi makanan bagi hidupan air yang lain. Kadangkala berudu juga akan mati apabila kolam atau kawasan berair menjadi kering. Kasihan si berudu !


Peringkat Ketiga

Selepas 5 minggu, berudu mula berubah. Kaki belakang mula terbentuk, diikuti dengan kaki hadapan. Kaki hadapan terbentuk di bahagian belakang kepalanya yang bonjol. Pada peringkat ini, berudu akan berenang ke permukaan air untuk bernafas. Ekornya juga membantu ia berenang bagi mendapatkan makanan. Berudu mula makan tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang reput. Ekor berudu mula mengecil. Paru – paru mula berkembang, untuk membolehkannya hidup di darat apabila telah sempurna menjadi seekor katak nanti.



Peringkat Keempat

Hampir menjadi seekor katak. Lama – kelamaan, berudu akan mula  berubah kelihatan seperti katak. Ia menanggalkan kulit. Mulutnya mula melebar, dan rahangnya mula hilang. Ekor mengecil, dan kaki membesar. Paru – paru semakin menjalankan fungsinya.

Hampir Menjadi Seekor Katak 



                               Peringkat Akhir

Selepas kira-kira 11 minggu, ia mula berkembang dengan lengkap menjadi katak yang mempunyai paru-paru, kaki dan tiada lagi ekor. Ia mula keluar dari air. Katak lebih banyak menghabiskan hidupnya di darat berbanding di dalam air. Katak yang kecil ni mula makan serangga dan cacing. Ia akan menjadi katak dewasa dan akan mencari pasangan. Katak betina akan bertelur dan proses ini berulang kembali.





Untuk pemahaman yang lebih jelas, berikut beberapa video mengenai kitar hidup katak. Jom layan….